Ramai tampil memuji filem Abang Long Fadil 3, peminat tak kering gusi dengan lawak Jozan

Siapa tak kenal dengan dua pelawak popular dalam movie ini. Pecah perut ketika menyaksikan sendiri filem aksi komedi arahan Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 3 (ALF3) yang sudah mula menemui penonton di negara ini sejak 8 September lalu. Sekuel ketiga filem tersebut menyaksikan dua pelawak terkenal, Johan dan Zizan Razak diangkat selaku bintang utama di samping beberapa nama popular lain iaitu Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Ozlynn Waty, Tania Hudson, Kazar Saisi, Khir Rahman, Shuib Sepahtu dan Daniella Sya.

Kalau sudahnya nama Johan dan Zizan yang terkenal dengan jolokan Jozan, apa lagi mahu dikata tentang gandingan mereka. Tak kering gusi jawabnya ketika menonton filem ini. Unsur komedi dipaparkan dalam filem ini ternyata menjadi elemen yang berjaya mencuit hati penonton biarpun adakalanya, sesetengah jenaka itu sepatutnya tidak perlu. Contohnya seperti jenaka double meaning (dua makna) yang berunsur lucah. Kalau tidak ditulis dalam skrip, sedikitpun tidak mencatatkan perjalanan cerita. Kekal dengan lelucon yang bersih, maka keseluruhan ALF3 akan nampak sempurna.

Mujurlah paduan Jozan dan babak lucu membabitkan Johan serta Zizan yang berdiri sendiri menjadi penghias terbesar dalam filem ini, sekali gus memadam cela yang ada dek lawak double meaning. Tolak ke tepi soal jenaka, mari berbicara tentang aksinya pula. Top notch atau mengagumkan. Persis aksi filem luar negara, ALF3 sangat teliti dalam bahagian visual aksi.

Aksi terbaik

Selari dengan jalan ceritanya sejak dahulu yang berkisar tentang dunia gengster, tak dinafikan, ada sedikit bahagian yang longgar, tetapi naratif cerita sekuel ketiga filem ini cukup menghiburkan. Pada masa sama, durasi aksi berlawanan yang sangat panjang sebenarnya agak mengganggu sedikit tumpuan penonton kerana menimbulkan resah, bilakah aksi tersebut mahu berakhir. Mungkin kerana pada babak akhir, semua watak disatukan dan berlaku banyak perbalahan antara mereka, maka terjadilah durasi yang panjang demi memaparkan pengakhiran setiap satu daripada mereka.

Seperkara yang layak dipuji, babak-babak aksi dalam filem ini berkelas antarabangsa. Pergerakan yang tajam, lincah dan bertenaga dilakukan sendiri sesetengah pelakon filem ini. Kehadiran Elizabeth atau Lizzy dan Maya serta Daniella, tiga wanita cantik yang melengkapkan babak aksi turut memberi nilai tambah buat ALF3. Peranan wanita dalam filem ini turut diangkat selari dengan watak lelaki dan bukan sekadar tempelan atau menjual muka cantik semata-mata. Selebihnya, tonton sendiri filem arahan Syafiq ini untuk mendapatkan kepuasan sebenar menyaksikan sebuah naskhah sarat aksi dan lelucon. Sumber, kosmo online

sumber: https://erakini.bbn.my/

Be the first to comment on "Ramai tampil memuji filem Abang Long Fadil 3, peminat tak kering gusi dengan lawak Jozan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*