Badan Dah Rasa Berat, Rupanya Ada Urat Bersilang Di Kaki, Jangan Ambil Mudah! Ini Langkah Yang Perlu Anda Ambil

ANDA mungkin pernah melihat seseorang dengan masalah urat kaki yang bersimpul. Simpulan uratnya berwarna kebiruan atau ungu gelap dan kelihatan timbul. Keadaan ini dinamakan vena varikos iaitu manifestasi kepada penyakit pembuluh darah vena yang kronik (CVD).

Selain vena varikos, CVD turut dicirikan dengan bengkak pada buku lali, kesakitan yang amat pada kaki, sakit ketika berjalan, otot kaki kejang, ulser pada kaki yang sukar sembuh dan kulit buku lali berubah warna kehitaman.

Biarpun masalah CVD kerap membabitkan bahagian kaki di bawah kulit, ia boleh berlaku di mana-mana bahagian badan yang mengalami kemelesetan aliran vena.

CVD berlaku apabila pembuluh darah vena pada kaki tidak menjalankan fungsinya dengan berkesan sehingga menyukarkan aliran darah untuk melepasi injap bagi membolehkan darah mengalir ke jantung.

Perunding Pakar Bedah Am Vaskular dan Endovaskular, Datuk Dr Ho Teik Kok berkata, pembuluh darah vena pada kaki bertindak membawa darah menuju ke jantung dan ia mempunyai injap yang menghalang darah daripada mengalir songsang sebaliknya membenarkan aliran darah dalam satu hala saja.

“Lazimnya, injap dalam pembuluh darah vena memastikan aliran darah bergerak ke jantung. Tetapi, injap yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan sebahagian aliran darah kembali ke kaki dan mengakibatkan darah berkumpul di bahagian kaki.

“Dari semasa ke semasa CVD menyebabkan kaki sakit, bengkak dan perubahan warna kulit kaki seterusnya berlaku luka terbuka atau ulser biasanya berhampiran buku lali,” katanya pada sesi meja bulat membincangkan penyakit itu anjuran syarikat farmaseutikal, Servier sempena pelancaran tablet Daflon untuk penyakit berkaitan pembuluh darah vena, baru-baru ini.

Ia juga sebahagian kempen kesihatan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai CVD. Ini kerana, kebanyakan pesakit CVD tidak menyedari tanda-tanda penyakit terbabit, selain ciri ditunjukkan oleh vena varikos.

Ramai pesakit juga tidak tahu bagaimana CVD berkembang tahap lebih serius sehingga berlaku ulser dan pendarahan pada kaki. Malah, CVD juga berkait rapat dengan penyakit buasir dan kajian mendapati kira-kira 50 peratus penghidap buasir juga mengalami CVD.

CVD dan buasir adalah penyakit berkaitan dengan pengedaran darah pada bahagian kaki dan pembuluh darah yang lemah.

Orang yang berisiko mendapat buasir adalah mereka yang mengamalkan gaya hidup sedentari, obesiti, sembelit yang kronik, pengambilan pemakanan rendah serat atau pedas dan mempunyai sejarah keluarga.

Selain itu, pekerjaan yang memerlukan seseorang banyak berdiri seperti penjaja, guru, tukang masak, operator kilang, pelayan kedai makan, kru penerbangan, jururawat dan yang memakai kasut tumit tinggi dalam tempoh lama berisiko mendapat CVD.

Kedua-dua masalah kesihatan ini sering dihadapi rakyat Malaysia, namun apa yang memburukkan keadaan apabila penghidap buasir malu berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan kerana menganggap ia adalah sesuatu yang sulit untuk dibincangkan sedangkan sudah ada rawatan yang berkesan.

Tujuan kempen ini juga menekankan kepentingan bagi pesakit untuk mendapatkan rawatan awal, memahami pilihan perubatan yang ada termasuk menukar gaya hidup lebih sihat.

Perunding Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Datuk Dr Meheshinder Singh berkata, walaupun buasir dan penyakit pembuluh darah vena merujuk pada keadaan di dua organ berlainan, kedua-duanya berlaku disebabkan oleh pembuluh darah yang berkaitan dengan injap vena yang lemah.

“Banyak urat mempunyai injap sehala yang menghalang darah daripada berkumpul dan membantu menghantar darah kembali ke jantung. Apabila injap ini tidak berfungsi dengan betul, darah kekal di urat menyebabkan ia membesar.

“Jika anda berisiko untuk mendapat vena varikos, anda juga berisiko mengalami buasir dan sebaliknya. Kedua-dua masalah ini sering berlaku dalam kalangan wanita hamil disebabkan peningkatan darah dalam sistem vena dan tekanan bayi di pinggul.

“Faktor risiko lain untuk buasir dan vena varikos termasuk genetik, obesiti dan peningkatan usia. Selain itu, tekanan tambahan dan berat di kawasan yang terjejas meningkatkan peluang anda untuk mendapat masalah pembuluh darah vena.

“Bagi masalah vena varikos, ia biasanya terjadi disebabkan berdiri terlalu lama atau kerap menyilang kaki, manakala buasir biasa berlaku kerana menghabiskan banyak masa duduk di tandas atau sembelit teruk,” katanya.

 

BILAKAH RAWATAN DOKTOR DIPERLUKAN?

Anda harus berjumpa doktor sebaik simptom berikut muncul:

l lKesakitan pada kaki

l lRasa berat pada kaki

l lPembengkakan pada kaki atau pergelangan kaki

l lUrat yang kelihatan timbul atau kesan lebam yang timbul secara spontan

l lSering kebas

l lKaki resah

l lKekejangan kaki

 

APAKAH RAWATAN YANG SEDIA ADA?

Ubat flebotropik

l lRawatan asas yang paling popular untuk pesakit dengan simptom penyakit vena kronik.

l lDiperbuat daripada bahan yang ditulenkan dipanggil flavonoid dan diperhaluskan untuk meningkatkan penyerapan.

l lMenaikkan ketegangan vena, memperbaiki sistem pengaliran limfatik dan melindungi peredaran darah.

l lMengurangkan simptom dan memperbaiki keadaan dinding pembuluh darah.

 

Stoking pemampatan

l lMemberi sokongan apabila berdiri untuk tempoh yang panjang.

 

Pembedahan bawah anestetik ringan

l lTerapi laser merawat vena varikos yang kecil dan juga vena yang kembung.

 

Cara melindungi kaki

l lAtasi masalah sembelit

l lKurangkan berat badan berlebihan

l lJumpa doktor dengan kerap

l lElak memakai pakaian ketat

l lPakai kasut selesa

 

Be the first to comment on "Badan Dah Rasa Berat, Rupanya Ada Urat Bersilang Di Kaki, Jangan Ambil Mudah! Ini Langkah Yang Perlu Anda Ambil"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*