Subhanallah..Qari Cacat Penglihatan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020

Malam tadi, berlangsungnya majlis penutup bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M. Johan bagi kategori utama, qari dan qariah juga diumumkan menerusi siaran langsung di saluran Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).

Johan bagi kategori lelaki telah disandang oleh Muhammad Qayyim Nizar Sarimi mewakili Kelantan dan Johan kategori wanita pula dimenangi oleh Puteri Kalimatul Azzua Hamid dari Perak.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang RM15,000, serta tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil.

Namun begitu, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah apabila mengetahui bahawa juara Qari yang mewakili negeri Kelantan itu adalah insan kelainan upaya (OKU).

Walaupun tidak dapat melihat dengan sempurna, Qayyim berjaya memperoleh markah sebanyak 90.66% dalam kategori tilawah.

Sebelum ke peringkat kebangsaan, Qayyim telah menjadi johan sebanyak 3 kali di peringkat negeri iaitu pada tahun 2017, 2019 dan juga 2020.

Kemenangannya tempoh hari membuatkan dia berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan dan sekali gus menggondol tempat pertama.

Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M telah berlangsung selama enam hari dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 16 Februari lepas.

Tilawah kali ini telah disertai oleh 108 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri. Semua mereka diadili 12 hakim tilawah dan 14 hakim hafazan.

 

Be the first to comment on "Subhanallah..Qari Cacat Penglihatan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*