Rakyat Boleh Pulang Dari Kampung. Ini Syarat Yang Perlu Semua Tahu Sebelum Kembali Ke Bandar

KUALA LUMPUR: Rakyat yang berada di kampung dan ingin pulang ke kediaman masing-masing perlu membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis bermula 25 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata permohonan itu boleh dibuat melalui dalam talian atau di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, kebenaran untuk membenarkan mereka pulang masih di peringkat kajian dengan nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui online, iaitu melalui aplikasi GerakMalaysia yang mana ini kolaborasi antara polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mulai 25 April nanti.

“Bagi mereka yang tiada kemudahan telefon pintar dan sebagainya, permohonan boleh dibuat di balai polis berhampiran namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan dan jika dibenarkan, pergerakan dijangka bermula 1 Mei ini.

Katanya, setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.

“Mereka yang mendaftar perlu mengemukakan nama, berapa jumlah ahli keluarga dan lokasi tempat untuk ditujui, dari kampung mana, zon merah atau hijau dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihaknya sedia maklum ada kalangan rakyat yang berada di kampung berhasrat pulang ke kediaman masing-masing di bandar termasuk Kuala Lumpur kerana sudah terlalu lama meninggalkan rumah.

“Seperti yang saya sebutkan, sebelum PKP ramai dalam kalangan rakyat kita berebut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka sudah berada di kampung lebih sebulan.

“Ramai yang mengadu tiada pakaian nak pakai kerana berada terlalu lama di kampung. Kita faham keinginan mereka untuk pulang ke tempat kerja. Ada yang bimbang rumah mereka dipecah masuk.

“Sesetengah mereka pulang bersendirian dan anak ditinggalkan di rumah di Kuala Lumpur dan terpisah daripada keluarga selama sebulan ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, berbanding pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah diketahui jumlahnya, kerajaan tiada maklumat berhubung angka mereka yang pulang ke kampung.

DALAM pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka mengumumkan pada Khamis atau Jumaat ini, sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, dilanjutkan, dilonggarkan atau ditamatkan selepas 28 April ini.

Berikutan trend penurunan kes positif baharu, kes pulih dan kes kematian hasil tiga fasa PKP setakat ini, ada pandangan kerajaan boleh melonggarkan beberapa sektor, khususnya berkaitan perniagaan dan pekerjaan untuk menjana semula ekonomi negara.

Pada masa sama, ada juga pihak berpandangan kerajaan perlu meneruskan pelaksanaan PKP seperti sekarang sehingga Malaysia dapat memutuskan rantaian penularan wabak C0VID-19.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpendapat PKP boleh disambung, namun kerajaan wajar memberi kelonggaran bagi membolehkan perniagaan dan ekonomi dapat bergerak semula.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (kiri) dan Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. – Foto NSTP

“Jika PKP dilonggarkan, perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi haruslah membuktikan bahawa mereka akan patuh pada peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Prosedur operasi standard (SOP), termasuk berkaitan penjagaan kesihatan di tempat kerja perlu ada dan tertakluk kepada audit dan semakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Pandangan sama dikongsi penganalisis ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, yang berkata, kewajaran PKP diteruskan masih tinggi tetapi kelonggaran untuk perniagaan beroperasi perlu diberikan berlandaskan SOP ketat ditetapkan KKM.

“Syarikat tempatan juga perlu mengubah model perniagaan untuk disesuaikan dengan kebiasaan baharu untuk tempoh dua tahun akan datang.

“Syarikat tempatan perlu mempunyai akses kepada e-dagang di mana ia membabitkan ekosistem operasi syarikat dari segi logistik, pergerakan pekerja, latihan peraturan dan peralihan kepada konsep digital,” katanya.

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, turut bersetuju kerajaan perlu menilai beberapa sektor tambahan untuk diberikan kelonggaran beroperasi jika PKP dilanjutkan.

Katanya, kebenaran untuk beroperasi penting supaya ia tidak menjejaskan rantaian bekalan dalam sektor penting ekonomi negara.

Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, juga berpandangan PKP wajar dilonggarkan sekiranya jumlah kes sembuh daripada jangkitan C0VID-19 terus meningkat, dan kes baharu pula mengekalkan trend menurun sehingga 28 April ini.

Anggota polis memeriksa pengguna kenderaan pada sekatan jalan raya di Cheras, hari ini. – Foto AIZUDDIN SAAD

Katanya, kerajaan boleh memberi kelonggaran dengan membenarkan beberapa lagi sektor industri dan perniagaan yang penting kepada ekonomi dan kehidupan awam, untuk beroperasi dengan syarat ketat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kekangan terhadap orang awam seperti mengadakan perhimpunan, termasuk solat tarawih, kenduri kahwin atau himpunan sosial, perlu kekal untuk tempoh antara enam hingga 12 bulan selepas PKP dilonggarkan atau ditamatkan.

“Namun, kebenaran untuk beroperasi ini mesti dilakukan secara berfasa dan bukan serentak, serta bergantung kepada taksiran risiko, sama ada sesuatu industri itu berisiko tinggi atau tidak untuk menyebabkan jangkitan semula C0VID-19.

“Pada masa sama, kerajaan perlu beri insentif untuk menggalakkan syarikat melaksanakan dasar bekerja dari rumah, untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Dr Awang Bulgiba menegaskan, sebarang keputusan untuk melonggar atau menamatkan PKP bukan saja bergantung pada statistik kes, tapi juga penilaian terhadap risiko jangkitan C0VID-19 kembali menular di negara ini.

Antara kaedah menilai risiko penularan semula wabak itu adalah memastikan kes sembuh mengatasi kes baharu secara berterusan sehingga hari terakhir PKP.

“Apabila bilangan sembuh berturutan mengatasi kes baharu, ia bermakna fasiliti hospital kita mampu merawat dan menangani jangkitan ini. Penilaian kedua adalah memastikan tiada kluster baharu yang besar seperti kluster tabligh.

“Ketiga adalah melihat tahap pematuhan orang ramai terhadap PKP. Jika pematuhan rendah, kemungkinan berlaku ledakan kes baharu selepas PKP dilonggar atau ditamatkan, adalah tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menggariskan enam kriteria perlu diambil kira, antaranya kawalan sempadan negara dan kawalan pergerakan rakyat sebelum keputusan mengenai PKP dibuat.

“Tanpa kawalan sempadan, kes import akan memasuki negara ini. Kita sudah mempunyai 95 kes import setakat ini. Justeru amat penting kita memperketatkan kawalan sempadan.

“Satu lagi ialah kawalan pergerakan. Kita mahu mengurangkan pergerakan kuman iaitu kebolehjangkitannya. Sekarang kita ada 2,041 kes positif yang kebolehjangkitannya tinggi dan kita kena sekat virus ini menjangkiti orang ramai,” katanya pada sidang media harian C0VID-19 di Putrajaya, semalam.

Aspek lain, memperkasakan sistem kesihatan negara, termasuk hospital, wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) C0VID-19; meningkatkan keupayaan makmal mengesan jangkitan dengan lebih pantas; melindungi mereka yang berisiko tinggi; penerapan kebiasaan baharu dalam kalangan masyarakat dan peranan komuniti mencecah penularan wabak.

Dr Noor Hisham yakin jika semua kriteria itu boleh dicapai, kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menamatkan PKP.

 

Sumber: Berita Harian

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook 

Sumber : HIBURAN ALL HMT/Oh MyMedia

Be the first to comment on "Rakyat Boleh Pulang Dari Kampung. Ini Syarat Yang Perlu Semua Tahu Sebelum Kembali Ke Bandar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*